Friday, June 19, 2009

Awasi apa yang masuk ke dalam perut kamu




Makan dan minum adalah antara ibadah yang penting dalam Islam. Makanan yang haram akan menjejaskan hubungan seseorang dengan Allah berdasarkan sabda Nabi saw: "Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadahkan tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram. Bagaimana akan diperkenankan permohonannya?" (Riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmizi)

Sebenarnya, makanan yang haram akan merosakkan ibadah dan mendekatkan seseorang kepada azab di akhirat. Menurut Tirmizi, Baginda berkata: "Setiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram, maka api nerakalah yang lebih utama baginya". Abdullah bin Abbas pula berkata: "Tidak diterima solat seseorang yang di dalam tubuh badannya terdapat benda yang haram". Sebaliknya, sebarang usaha bagi mendapatkan rezeki yang halal akan dirahmati oleh Allah.

Dalam satu riwayat oleh Tabrani, Nabi saw bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berusaha untuk keluarganya daripada harta yang halal, dia berkedudukan seperti orang yang berjihad pada jalan Allah". Rezeki yang halal akan membantu pelaksanaan ibadah dengan sempurna. Makanan yang haram akan memberi kesan buruk kepada jasad lantas melemahkannya untuk beribadah. Sahl al-Tusturi berkata: "Sesiapa yang memakan makanan yang haram, akan derhakalah anggota tubuhnya. Sesiapa yang mengambil makanan yang halal, anggota badannya akan mentaatinya dalam membuat kebaikan".

Antara perkara yang diharamkan oleh Islam adalah arak. Dalam surah al-Maidah: ayat 90, Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan menengok nasib dengan menggunakan anak panah adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Maka, tinggalkanlah ia semoga kamu berjaya".

Daging haiwan liar juga diharamkan oleh agama berdasarkan sabda Nabi saw, riwayat Bukhari di mana maksudnya: "Nabi Muhammad melarang umat Islam memakan semua binatang buas yang bertaring dan burung yang mempunya kuku yang mencengkam". Di samping itu, daging babi juga diharamkan sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 173 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi". Berdasarkan ayat ini, umat Islam dilarang keras daripada memakan daging babi dan segala produk yang diperbuat daripadanya secara mutlak kecuali dalam keadaan darurat.

Jelaslah di sini, aspek pemakanan amat memainkan peranan utama dalam menjamin keberkesanan ibadah seseorang Muslim di samping memacu diri ke arah mencapai kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Justeru, dalam merealisasikan matlamat hidup tersebut, kita sebagai hamba Allah perlulah sentiasa peka dan berhati-hati terhadap perihal halal dan haramnya sesuatu perkara yang kita lakukan dalam kehidupan seharian bukan sahaja aspek pemakanan, malah bidang pekerjaan, muamalat dan sebagainya.


Dipetik dari: www.iluvislam.com


0 comments: