Saturday, June 20, 2009

Balik Kampung!


Bila terkenangkan desa
Rindu selalu melanda
Pada ayah dan bonda sanak dan saudara
Kampung halaman nun jauh di mata

Kini tiba ketikanya
Saat kembali ke desa
Indah suasana mesra sambutannya
Rasa gelora di dalam dada

Terimalah buah tanganku
Sekadarnya yang aku mampu
Buatmu ayah dan juga ibu
Tanda ingatan kasihku

Meriahnya suasana desa
Semuanya ramah dan mesra
Dimanakah teman-teman lama
Bertahun tidak bersua

Ketika kenduri kendara
Sekampung bagai berpesta
Bertolong Bantu jiran tetangga
Beramai makan bersama

Berzanji di surau lama
Tak sedar hari dah senja
Begini caranya kemesraan desa
Moga kekal selamanya

Sedang asyik bercerita
Melintas si gadis desa
Manis senyumannya bertudung kepala
Anak saudara sendiri rupanya

Bergurau teruna dara
Pastikan ada batasnya
Adat kesopanan dan budaya bangsa
Agar agama terpelihara


Seronok. Tengahari tadi, aku bersama ummi, abah dan 2 orang adikku pulang ke kampung sebelah ummi. Di Seri Menanti, Kuala Pilah, N9. Lama dah tak menjenguk ke sana. Lepas arwah wan (baca:nenek) meninggal, memang jarang sangat kami ke sana.


Tujuannya untuk memenuhi undangan salah sorang saudara jauh ummi, yang buat majlis aqiqah cucu nya. Memang dah menjadi adat orang kampung di sana, setiap kali ada kelahiran, majlis aqiqah untuk bayi tersebut akan diadakan secara besar-besaran. Meriah. Lagi meriah dari kenduri kahwin.


Teringat zaman aku kecik-kecik dulu. Setiap kali cuti sekolah, ummi akan hantar aku, abanglong, din dan amat ke kampung. Kami dijaga oleh arwah wan. Arwah atuk dah lama meninggal, masa umurku 7 tahun. Kat kampung tu, kami ikut je la ke mana pun arwah wan pegi. Ke pekan Pilah, kenduri-kendara, kebun buah, ziarah saudara-mara.


Kat sana, majlis yang paling meriah adalah majlis aqiqah dan berkhatan. Paling kurang, 2 ekor kambing akan ditumbangkan. Masak ramai-ramai. Gotong-royong. Kami kanak-kanak ni la yang paling seronok. Ramai kawan2 dan sedara-mara yang datang. Berkejaran kesana kemari. Tak kenal penat.


Lepas selesai upacara marhaban dan berzanji selesai, bermulalah pulak acara ‘mengait gula-gula’. Di bahagian siling di ruang tamu rumah, akan digantung pelbagai jenis coklat dan gula-gula. Kanak2 akan melompat setinggi boleh untuk mendapatkannya. Ada juga yang mengait dengan menggunakan ranting kayu. Hingar bingar la rumah waktu tu. Huhu.


Yang tak boleh dilupakan di kampung ni adalah suasananya. Sangat menenangkan. Tanpa bunyi bising kenderaan mahupun pembinaan. Udara yang sangat nyaman dan bersih. Pohon2 yang tumbuh merendang, memberi teduh, juga buah-buahan yang pelbagai. Tak kurang juga, masyarakatnya yang peramah.


Memang banyak perbezaan yang aku dapat lihat antara gadis kampung dan gadis di bandar. Gadis2 kampung masih mengekalkan nilai kesopanan dan tatasusila mereka di hadapan orang ramai. Pakaian yang sopan, merendahkan suara, menundukkan badan ketika melintas di hadapan orang dewasa, membantu ibu di dapur. Nilai2 sebegitu kini memang susah untuk ku lihat diamalkan di bandar2.


Ahh, aku rindu tempat itu. Bila lagi agaknya dapat kembali ke sana, berkumpul bersama adik-beradik dan saudara-mara, bergotong-royong membakar lemang, mengacau dodol, membakar ayam, mengait buah rambutan, memanjat pohon manggis dan langsat, mandi-manda di sungai. Sungguh, aku ingin kembali memutar masa lalu itu.


Al-Fatihah buat arwah wan yang tak pernah jemu dan penat menjaga kami adik-beradik setiap kali musim cuti sekolah tiba. Wan tak pernah sekali pun marah pada kami, walaupun kami sangat nakal (suka main api). Bangun subuh pun, setiap hari wan tak pernah lupa untuk kejutkan kami. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang2 soleh. Amiin.





P/s: Tak amek gambar pun tadi. Lupe bawak kamera. Huhu.