Friday, June 12, 2009

Sayangku..di mana kamu...

Setiap yang datang pasti akan pergi.. Yang mula, akan ada akhirnya.. Pada kehidupan sudah tentu kematian itu pasti..

10 jun 2009, 4.48pm. Resah mula menyelubungi diriku. Terasa dahi dibasahi peluh. Mataku mula meliar kesana kemari mencari dirimu. Habis setiap penjuru rumah aku periksa. Di dalam kereta juga. Tetapi hampa.

Lantas ingatanku ligat berputar. Memainkan semula detik 3 jam yang lalu. Setiap gerak tubuhku, aku cuba mainkan semula. Bangun dari kerusi, pintu dihempas, berjalan masuk ke sebuah premis, tangga dipanjat, kembali semula ke kerusi itu tanpa memandang ke kiri kanan atas mahupun bawah.

Ah! Di situ rupanya. Tempat kejadian! Aku tergesa-gesa kembali ke sana. Harapanku moga kamu masih di situ menunggu kedatanganku. Janganlah kamu diapa-apakan orang lain. Jangan pula kamu beredar tanpa meninggalkan pesan.

Setibanya aku di sana... Sayang! Sayang! Di mana kamu! Maafkan aku kerana begitu cuai terhadapmu. Ampunkan daku kerana begitu alpa dengan keseronokan baru itu sehingga dirimu terabai. Oh Tuhan, temukan aku semula dengan sayangku..

Hampa. Kamu sudah tiada lagi di situ. Kamu sudah pergi. Pergi meninggalkan diriku. Langsung tidak meninggalkan apa-apa kesan. Aku diselubungi kekesalan. Berat sungguh hati ini untuk berangkat dari tempat kejadian. Aku tahu aku yang bersalah. Tapi janganlah menghukumku sebegitu rupa.

Tak tertahan lagi kesedihan yang membelenggu. Air jernih mula bergenang membasahi kelopak mata. Memori disingkap semula. Kenangan-kenangan manis bersamamu diulang tayang satu persatu di dalam kotak ingatanku. Pahit manis kita tempuhi bersama. Suka duka menceriakan lagi warna-warna kehidupanku. Susah senangku kamu setia di sisi.

Banyak sungguh jasa yang kamu taburkan padaku. Selama lebih 3 tahun perkenalan kita, tak pernah sekalipun kamu meragam. Kamu lah yang mendisiplinkan aku. Setiap detik waktuku kamu yang tolong jaga. Jadual hidupku keseluruhannya bergantung padamu. Aku banyak berhutang budi padamu. Aku sayang padamu!

Kini kamu sudah tiada. Tiada lagi di sampingku. Hidupku terasa sepi. Jadual hidupku sudah tidak terurus. Masa terluangku banyak dibazirkan dengan sia-sia. Kerana kamu sudah tiada lagi untuk mengingatkanku. Tiada lagi yang membantu menguruskan aktiviti harianku. Oh, aku sangat bergantung padamu.

Terasa kekok bila kamu tiada di lenganku. Dulu, kamulah keperluan, kamu juga kehendak. Kamu jam tangan, kamu juga gelang tangan. Kini, tiada lagi hiasan di lenganku. Aku rindu padamu sayang.. Aku tidak halalkan dirimu ke atas si pencuri itu! Kamu milikku, selamanya. Walaupun kamu tiada lagi bersamaku, namun akan kukenang jasa bakti yang telah banyak kamu curahkan padaku.

Aku sedih. Aku rindu. Aku pilu. Aku kesal.



P/s: Jam tangan kesayanganku hilang di tempat parking kereta belakang Giant Hypermarket Senawang.

3 comments:

Jepah said...

jam jepah hilang kat bilik di uia... heran x? huhuhu..

btw, setiap kejadian pasti ade hikmahnya... kan? =)

sabar ye dik...

MAR said...

hilang kt bilik??
xleh dimaafkan! ;P
betul2..
hikmah jam hilang.......

dpt jam baru!!
yeay!! ^_^

gene47 said...

lar..igtkn pe td.hehe..